Selasa, 18 Januari 2011

Renung-renungkan

            Saya ingin menyentuh sedikit tentang perihal etika memancing. Sebagaimana yang kita semua maklum, salah satu etika memancing yang patut diamalkan ialah membawa balik ikan yang perlu sahaja. Terdapat sebilangan pemancing mengamalkan sikap ‘melepaskan batuk di tangga’ iaitu tidak mempedulikan atau tidak mengambil berat dalam mengamalkan etika ini. Pemancing-pemancing yang bersikap sebegini boleh dikategorikan sebagai ‘PEMANCING BANGANG’ walaupun mereka tahu apa yang dilakukan oleh mereka sebagai satu sikap yang tidak berperi kemanusiaan. Bayangkan ikan-ikan yang bersaiz kecil, yang masih bertaraf juvenil dibawa pulang. Kononnya ingin dimakan atau ingin menjadikan ia sebagai santapan kepada haiwan peliharaan mereka. Sikap yang sangat menjelekkan dan menjengkelkan ini sepatutnya dibuang terus daripada kamus pengetahuan para pemancing supaya stok ikan  di perairan negara kita tidak pupus.

Selain itu, sikap menzalimi haiwan seperti membiarkan ikan  yang dipancing yang dianggap sebagai spesis pengacau mati kering sama ada di atas lantai bot atau lantai kelong juga patut dianggap sebagai sikap yang sangat tidak berperikemanusiaan. Pemancing yang sebegini juga patut dikategorikan sebagai ‘PEMANCING BANGANG’ kerana bersikap zalim. Jangan kita lupa bahawa setiap kejadian Allah SWT itu ada manfaat dan faedahnya. Contohnya ikan buntal yang sering memakan umpan dan memutuskan tali pancing selalunya akan dibiarkan mati kering kononnya mereka takut ikan tersebut akan memakan umpan atau memutuskan tali mereka sekali lagi. Sepatutnya kita sebagai manusia yang memiliki akal fikiran mencari cara yang terbaik untuk mengelakkan masalah ini berlaku dan bukannya dengan menghukum ikan yang tidak mempunyai akal itu dengan cara yang tidak bertamadun. Faktor inilah yang  mungkin menjadi salah satu sebab mengapa nasib dan rezeki selalu tidak memihak kepada pemancing.

Oleh itu, kita sebagai pemancing yang memiliki sikap nilai-nilai murni hendaklah sentiasa menasihati rakan-rakan pemancing yang tidak beretika supaya mereka membuang jauh-jauh sikap sedemikian. Dengan cara begini barulah khalayak yang bukan dalam kalangan pemancing akan memberi tanggapan yang positif kepada hobi memancing.