Pancing Pantai
1. Umpan untuk kegunaan memancing di pantai boleh disenaraikan seperti berikut:
i) Udang segar (hidup lebih baik).
ii) Perumpum sarang/pantai.
iii) Hirisan ikan (kembung, selar, selayang).
iv) Sotong pasar (cumit sesuai).
v) Sotong kurita.
vi) Anak ikan belanak.
vii) Ikan muara seperti beliak mata, selangat, bilis air, bulu ayam, rencang rebung dan kasai.
viii) Ketam angin/anak ketam batu.
ix) Roti untuk umpan belanak besar.
x) Roti canai/daging ayam untuk ikan kuku.
xi) Siput, kerang, kupang dan isi cengkerang lain.
2. Saiz batu ladung boleh menentukan jarak baling. Tetapi pastikan batu yang digunakan dapat ditampung oleh hujung joran ketika lontaran dibuat. Jika tidak, hujung joran mudah patah ketika permulaan lontaran. Saiz batu juga boleh ditentukan melalui keadaan pasang surut serta permukaan. Bermula nombor 8 hingga 12 adalah saiz yang lumrah digunakan pemancing pantai. Pilih batu jenis lonjong memanjang supaya ia kurang memberi rintangan angin dan arus.
3. Perambut mulakan dengan 20 hingga 60 paun bergantung kepada kekuatan tali utama, saiz mata kail, kapasiti kekili dan kekuatan joran yang digunakan. Pilih warna cerah dengan panjang perambut antara 1 hingga 2 kaki. Kalau memancing ikan bebulus di pantai perambut setengah kaki dengan kekuatan 12 paun amat sesuai.
4. Kunjungi pantai ketika keadaan air yang kurang gelombang dan berangin. Pastikan tiada hujan sebelum kunjungan dan air yang hampir jernih (jika air terlalu jernih, ikan biasanya kurang galak memakan umpan).
5. Waktu terbaik ialah ketika air pasang penuh. Ketika itu, ikan akan merapat ke pantai. Pada sebelah malam pula, ikan lebih efektif daripada siang. Secara ringkas waktu paling sesuai ialah lewat petang hingga sebelum fajar. Terbaik ialah lepas solat Maghrib hingga sebelum habis waktu Subuh. Sebagai tambahan, menggunakan joran panjang tidak kurang 10 kaki (3.5 meter) adalah satu kelebihan. Kekili jenis terbuka dan gegendung jenis panjang sesuai jika pemancing berhajat membuat lontaran lebih jauh.
Memancing di batu karang.
MEMANCING di tepian berbatu karang adalah kawasan berpotensi menjinakkan ikan juga paling kerap kail tersangkut. Batu atau karang di situ menjadi kegemaran ikan berlindung dan memburu mangsa. Namun begitu, ia mendatangkan masalah kepada pemancing lebih-lebih lagi jika kita memancing dari tebing atau pantai. Masalah sangkut adalah lumrah di kawasan sebegini lebih-lebih lagi jika memancing dasar. Ia hampir tidak dapat dielakkan sepenuhnya jika kawasan batu itu ada karang dan teritip. Walaupun tiada jalan penyelesaian mutlak, pemancing boleh mengamalkan beberapa teknik bagi menewaskan ikan batu karang, antaranya:
Gunakan teknik pancing apollo di mana ladung di bahagian bawah sekali. Jika tidak mahu kehilangan ikan, tangsi yang diikat pada ladung mesti lebih halus daripada perambut untuk mata kail dan tali utama. Oleh kerana ladung mencecah dasar, peluang untuk ia sangkut adalah tinggi. Jika tersangkut, pemancing masih boleh menyelamatkan kail dan ikan kerana tali lebih halus bagi mengikat ladung, akan putus terlebih dulu. Berikutan harga ladung semakin mahal, guna bahan lain seperti batu dan skru terbuang sebagai ganti.
Teknik tanpa pemberat (ladung), juga sesuai jika kawasan itu lemah arusnya atau arus menolak ke arah laut. Umpan seperti isi ikan dipasang terus hingga menutupi seluruh mata kail dan di lontar ke sasaran. Umpan akan mengambil masa untuk sampai ke dasar. Ketika menjunam, umpan menjadi sasaran ikan dan pemancing perlu mengarau tali jika ada tanda sambaran yang biasanya berlaku pertengahan air dan kawasan di mana kadar sangkut mata kail adalah minimum.
Teknik menggunakan pelampung memerlukan pemancing bijak menentukan kedalaman air setempat. Untuk teknik ini jika umpan dapat dilabuhkan kira-kira 0.5 hingga 2 meter dari dasar potensi sambaran adalah tinggi. Jika terlalu rendah atau jauh ke dasar kemungkinan sangkut pada karang.
Memancing Ikan Sembilang
1. Sembilang adalah antara spesies ikan yang dietnya beraneka jenis. Tidak kira umpan hidup, mati dan umpan bercengkerang turut tergolong dalam diet sembilang. Malah umpan busuk seperti sotong mati, udang mati yang merah kulitnya juga boleh dibuat umpan jika ada pemancing sanggup menahan baunya.
Memancing sembilang di dasar berselut amat sesuai berumpan perumpun yang merah badannya. Perumpun amat digemari sembilang kerana ia adalah haiwan yang turut mendiami dasar berselut. Jadi sembilang yang meronda di dasar turut memburu perumpun sebagai makanan. Masalah utama jika menggunakan perumpun ialah anak ikan turut sama menggerutu umpan itu sebelum dijumpai sembilang.
Umpan seperti udang hidup, sotong dan isi ikan akan mengalami masalah yang sama, habis sebelum semilang menjumpai umpan berkenaan. Masalah umpan dikacau anak ikan lain boleh diatasi dengan menggunakan umpan lintah sungai. Haiwan ini diketahui hanya sembilang saja yang menelannya. Sekiranya kawasan berkenaan tiada gangguan anak ikan, perumpun urat atau sarang adalah yang terbaik.
Memancing Ikan Kurau
Ikan kurau ialah spesies yang berskala 5 kilogram (kg) ke bawah manakala senohong melebihi 5 kg. Kurau adalah ikan muara yang kuat melawan serta memiliki daya pecutan. Justeru, tali utama kekuatan minimum 20 paun diperlukan.
Memancing menggunakan ladung yang kecil hanya sekadar memastikan umpan berada pada kedudukan dasar. Gunakan perambut tangsi minimum 50 paun diikat dengan mata kail 3/0. Tidak perlu perambut dawai kerana kurau kurang gemar.
Kalau boleh perambut yang digunakan adalah jenis yang tahan calar dan hakisan. Kurau ikan bermulut besar. Jadi, mata kail dari 2/0 hingga 5/0 adalah prasyarat memancingnya. Pasang umpan pilihan seperti ikan cabuk, udang hidup atau hirisan kembung di lubuk sasaran. Waktu kemuncak ialah 30 minit sebelum air pasang penuh dan satu jam selepasnya.
Memancing Pari
Umpan yang biasa digunakan memancing pari adalah udang hidup, sotong cumit atau sotong jarum hidup, sotong mati tapi belum kena ais, sotong kurita, sotong katak kecil, ikan jajang (seperti belacak sungai), ikan belanak, selayang/ selar kuning di potong dua, anak ikan bebolos, anak gelama, perumpun, ikan tamban dan ikan beliak mata. Penggunaan umpan sesetengahnya mengikut tempat dan lokasi pancing. Boleh rujuk kepada penduduk setempat jika ingin kepastian. Umpan yang disebutkan ini adalah jenis umpan yang biasa dirembat sang pari. Oleh kerana pari ikan yang suka mendap di dasar, peralatan halus dan lembut bukanlah lawannya. Saiz minimum yang disyorkan ialah 20 paun atau PE2.
Waktu sesuai ialah ketika arus tidak terlalu laju dan waktu di antara berlakunya perubahan pasang surut air. Pari menelan umpan tidak kira masa, sama ada pagi, petang dan malam. Pari apabila menelan umpan dan terasa tekanan yang dikenakan ke atasnya akan mula melarikan diri. Tenaga yang di miliki pada permulaan ini sukar untuk ditangani pemancing. Jika berlaku keadaan ini kita perlu beri tali tapi jangan terlalu longgar dan tunggu sehingga larian pari lemah. Semasa memberi tali, pada masa yang sama sentiasa berikan tekanan pari pari bertujuan meletihkan ia. Jika ada peluang mengarau tali lakukan tanpa ragu-ragu. Bermain dengan pari banyak memerlukan kesabaran terutama apabila ia memekap di dasar dalam jangka masa yang lama.
Jenis pari yang biasa makan umpan pemancing ialah pari benting, pari harimau, pari minyak, pari lalat, pari pasir, pari nyonya, pari daun, pari kulim, pari tanjung, ketuka dan kadang kala pari lang. Pari paus, pari kebas dan pari serban adalah di antara pari yang tidak makan umpan.
Teknik memancing siakap.
Menunda
Menunda menggunakan berbagai jenis gewang dengan berbagai jenis kedalaman dan warna. Anda hendaklah rajin dan yakin sebelum melakukan teknik menunda.
Menghanyut
Menggunakan umpan udang hidup atau belanak hidup.
Peralatan.
Gunakan set joran berkekuatan 17-30 untuk kedua-dua teknik pancingan. Kekili yang mempunyai kekuatan yang seimbang dengan set joran. Tali sulam berkekuatan 30-50 paun yang sesuai dengan kekili dan joran. Gunakan tali Berkley fluorocarbon berkekuatan 30-40 paun dan sambungkan dengan kabel sepanjang sejengkal berkekuatan 30 paun sebagai perambut.
Gewang
Gunakan gewang berwarna seakan belanak dengan berbagai jenis kedalaman. Sekiranya gagal cuba gunakan gewang dengan warna yang berlainan.