Tebal Pipi Dan Gerut-Gerut

Tebal Pipi Dan Gerut-Gerut

     Tebal Pipi, satu nama spesies yang jarang didengari di kalangan pemancing Pantai Timur. Sebelum melihat sendiri, sukar untuk membayangkan rupa spesies ikan yang dikatakan mempunyai pipi tebal. Saya tidak dapat bayangkan sebesar manakah pipi yang dikatakan tebal atau muka yang gemuk seperti ikan buntal sehinggalah melihatnya sendiri. Tebal muka istilah yang biasa diperkatakan, namun tiada istilah tebal pipi. Tebal pipi biasanya dipanggil 'tembam' atau pipi yang montel. Kerana pipilah ikan ini mendapat namanya.
     Keluarga yang sama atau sepupu rapatnya ialah gerut-gerut (gegerut). Perbezaan yang paling ketara antara tebal pipi dan gerut-gerut ialah pada bahagian pipi dan warna sirip serta ridip. Namun kedua-duanya mempunyai tabiat yang sama iaitu mengeluarkan bunyi 'grooot... krooot' atau anda sendiri pernah mendengamya apabila ia dinaikkan. Tapi hanya gerut-gerut yang lebih dahulu menempah nama ini, 'groot' sehingga sekarang. Dapat nama dari bunyi. Gerut-gerut atau gegerut mempunyai bahagian sekata di muka, pipi atau dekat bahagian insang rata dan tidak menonjol keluar serta warna badan perak keemasan, warna tompok-tompok hitam di atas garisan deria dan bahagian ekor putih dan hitam di bahagian hujung.
Manakala tebal pipi mempunyai bahagian insang membengkak dan tulang pipi menonjol keluar, badan berwarna perak dan kekuningan di bahagian bawah terutama sirip, ridip dan ekor, kombinasi warna badan lebih cantik dari gerut-gerut, mempunyai tompok-tompok bintik hitam di bahagian atas serta badannya lebih gempal dari gerut-gerut. Namun kedua-dua jenis spesies ini mempunyai habitat dan diet yang hampir sama. Mungkin gerut-gerut mudah diperolehi oleh pemancing berbanding tebal pipi. Ini kerana gerut-gerut mempunyai 3 spesies yang berlainan sedikit walaupun bentuk hampir sama dan bilangannya lebih banyak dari tebal pipi.
     Namun saiz gerut-gerut yang mudah diperolehi sekitar 100 hingga 500 gram. Untuk memperolehi spesies yang lebih besar ia biasa dijumpai di air yang agak dalam dan terkeluar sedikit dari muara terutama paloh (laluan utama sungai) serta kawasan pulau persisiran pantai serta laut bebas. Saiz yang biasa dilihat untuk gerut-gerut di air dalam di antara 600 gram hingga 3kg. Tebal pipi jarang berada pada air cetek dan saiz yang biasa diperolehi agak besar dari 500 gram hingga 3kg. Ada pemancing dan nelayan menyatakan paling besar mereka perolehi ialah 5kg dan ia boleh membesar hingga sepanjang 80 cm, 

Habitat

     Tebal Pipi boleh didapati di kedalaman air sehingga 60 meter (200 kaki). Sungai dan kawasan pantai yang dalamnya lebih dari 10 meter juga menjadi pilihan spesies yang mempunyai pipi kiri dan kanan yang tebal ini. Jarang didengari ia bejaya dipancing di kedalaman kurang dari 3 meter kerana sifat ikan tebal pipi ini gemar kepada air yang lebih dalam. Sekiranya air kawasan padang pancing bersih atau jernih di kawasan dasar, warna terutama di bawah perutnya lebih kuning dari bahagian badan yang lain kerana sisik yang bertindak balas dengan air persekitaran. la lebih gemar kepada kawasan dasar berpasir dan kadang-kala merayau di kawasan batu karang kecil atau berkelompok kecil di kawasan berpasir sesuai dengan tabiatnya mencari makanan di dasar. Spesies ini lebih banyak terdapat di Pantai Barat semenanjung.
Gerut-gerut boleh diperolehi di kawasan air cetek sehingga kurang dari satu meter tetapi kebanyakannya bersaiz kecil. Gerut-gerut yang bersaiz besar 500 gram ke atas hanya boleh diperolehi di perairan yang dalam, lebih dari 10 meter. Gerut-gerut gemar kepada kawasan kuala sungai, pantai dan kawasan batu karang di persisiran pantai atau pulau. Pilihan utama gerut-gerut ialah di kawasan kuala sungai yang berpasir dan juga di kawasan reba pokok bakau.

Peralatan dan Teknik

     Menggunakan pancing bersaiz sederhana dengan kekuatan tali 10 hingga 25 paun sudah memadai dan disyorkan jika pemancing ingin satu pertarungan yang adil serta sengit. Anda perlu gunakan mata pancing yang tajam kerana gerut-gerut dan tebal pipi yang bersaiz sekitar sekilogram mempunyai bahagian mulut yang keras terutama pada sebelah atas bahagian lelangit. Jika memancing di air yang mempunyai kedalaman lebih 15 meter, peluang untuk mendapatkan spesies yang lebih besar adalah cerah jika dibandingkan air yang cetek.
Di air dalam, cara dua spesies ini memakan umpan seperti ikan kecil, henjutan pada hujung joran tidak begitu ketara sehingga mata pancing sudah masuk ke dalam mulutnya. Saiz mulut yang tidak begitu besar memberi kelebihan kepada dua spesies yang mempunyai tabiat dan rupa yang hampir sama ini. Pemancing akan kehilangan hasil jika mata terlalu besar. Saiz mata kail yang disyorkan ialah 1/0 atau 2/0. Untuk mengelakkan umpan dicuri ikan yang lebih kecil, sotong kurita (jejari) adalah umpan terbaik selain cumit hidup, udang dan ikan bilis. Waktu paling sesuai ialah ketika air mati dengan umpan udang hidup, jejari sotong kurita dan juga perumpun.
     Gerut-gerut yang biasa diperolehi di kawasan muara dan air cetek sesuai menggunakan perumpun dan mata yang lebih kecil. Kalau mata pancing yang digunakan terlalu besar anda perlu selalu memasang umpan baru setiap kali selepas henjutan berlaku di hujung joran.