Sistem tegangan (drag) dicipta supaya ia dapat memberi jangka hayat lebih lama kepada logam gear di dalam kekili. Oleh itu, gear diberi perlindungan supaya tidak haus atau rosak apabila tekanan dan beban yang dikenakan melebihi kekuatan yang ditetapkan.
Sebagai contoh, 8kg bersamaan 17.6 paun dan gegedung kekili dimuatkan dengan tangsi kekuatan 30 paun. Lazimnya kita akan set sistem tegangan pada skala 1/3 daripada kekuatan muatan tangsi iaitu kira-kira 10 paun. Untuk lebih, tepat anda perlu gunakan skala pengukur dan tarik keluar tangsi dari gegelung dan perhatikan bacaan skala apabila tangsi keluar.
Jika bacaan kurang daripada 10 paun, ketatkan sedikit demi sedikit sehingga bacaan akhir tangsi mula keluar ialah pada tahap 10 paun. Apabila sudah tepat, biarkan kekunci sistem tegangan pada tahap ini. Walaupun sistem tegangan maksimum ialah 8kg tetapi seboleh-bolehnya dinasihatkan supaya jangan dikunci tegangan tali pada tahap ini. Biar kurang daripada paras itu supaya kita tidak memaksa kekili sentiasa beroperasi pada tahap maksimum kecuali sesekali dalam keadaan yang memaksa.
Selepas ini jika ikan melebihi 8kg memecut, sistem tegangan akan membenarkan tangsi keluar. Biarkan ikan lari selama nama yang dia mahu kerana konsep ini ikan tidak akan dapat memutuskan tali kecuali terkena objek tajam digigit atau bergesel dengan karang. Layan saja larian ikan sehingga ia letih. Semakin banyak ikan membuat larian, ia akan semakin letih kerana terpaksa menggunakan kudrat untuk menarik keluar beban 10 paun sepanjang masa.
Apabila tangsi semakin banyak ditarik keluar, beban yang asalnya 10 paun menjadi semakin berat. Ini kerana lebih banyak tekanan diperlukan untuk menarik keluar tangsi yang setengah isinya berbanding tali yang penuh di dalam gelendung.
Sistem tegangan akan menjadi berganda apabila 80 peratus tali asal keluar dari gelendung. Konsep asas - semakin kurang tali dalam gelendung semakin tinggi tekanan diperlukan untuk sistem tegangan beroperasi. Percaya atau tidak, tali 10 paun boleh menewaskan ikan seberat 60 paun!
Artikel ini dipetik dari Joran Berita Harian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan